KAMI GENG SUKA IKAN KELI
JOM KENALI JENIS BURUNG KAKAKTUA
Terdapat
pelbagai jenis burung kakaktua. Kakaktua merupakan binatang yang sesuai
dijadikan teman kerana setiap darinya mempunyai daya tarikan dan karakter
tersendiri. Terdapat beberapa faktor yang boleh dipertimbangkan sebelum anda
menjadikan salah satu spesies kakaktua sebagai haiwan peliharaan anda. Faktor
yang diambil kira ini termasuklah kos, tahap komitmen yang diperlukan, tahap
bunyi yang diterima dalam rumah atau ruang yang ada, perbelanjaan sekiranya
berlaku kerosakan/kemusnahan, penyediaan diet
yang diperlukan, tahap sosialisasi dan jangkaan pemilik dari segi
keupayaan atau ciri-ciri yang diidamkan.
1. PARROTS
Kos
memelihara burung kakaktua jenis Parrots
adalah berbeza-beza mengikut spesies. Begitu jugalah dengan sangkar yang
diperlukan dan peralatan lain termasuk kos yang berterusan seperti makanan,
mainan dan penjagaan veterinar. Secara amnya, burung yang lebih besar dan lebih
eksotik maka lebih mahal pula penyelenggaraannya.
Kebanyakan
spesies Parrots memerlukan diet
lengkap yang terdiri daripada diet yang telah diformulakan atau dirumuskan
seperti pellet. Parrots juga
memerlukan pelbagai makanan yang segar seperti sayuran, biji benih, bijirin,
buah-buahan dan kekacang. Sesetengahnya mungkin memerlukan diet yang lebih
khusus sementara yang lain akan mempunyai keperluan pemakanan yang mudah
penyediaannya. Burung Parrots yang
lebih besar memerlukan kepelbagaian
jenis makananan daripada hanya bergantung pada sumber bijirin sahaja.
Parrots boleh menjadi sangat kelam kabut
terutama sekali apabila ia sedang makan namun tabiat ini tidaklah sentiasa
berterusan. Debu-debu yang ditebarkan daripada bulunya juga biasanya dihasilkan
oleh beberapa spesies Parrots. Apabila
Parrots anda dibenarkan untuk keluar
dari sangkar dan dibenarkan bergerak bebas di dalam rumah, pemilik perlu teliti
dalam memastikan persekitaran itu selamat untuk burung. Contohnya Parrots adalah burung yang sangat gemar
mengunyah getah jadi perabot seperti sofa perlu diawasi. Persekitaran yang
selamat bukan sahaja berperanan untuk melindungi harta benda daripada
kemusnahan tetapi juga mencegah kecederaan atau kemudaratan kepada burung.
Komitmen
masa yang sedikit tidak boleh menjadi alasan sekiranya ingin memelihara Parrots. Ini kerana Parrots memerlukan perhatian dan masa daripada pemilik mereka.
Sebagai burung yang sangat pintar burung
Parrots memerlukan pelbagai
rangsangan mindanya untuk mengelakkan kebosanan dan gangguan emosi. Parrots yang mendapati diri mereka dalam
situasi yang tidak sesuai dan gembira boleh mencederakan orang lain malahan
kepada dirinya sendiri.
Contoh
Parrots: Eclectus Parrot, Red-capped Parrot, African
Grey/ Congo African Grey Parrot,
Hawk-headed Parrot/ Buff Hawk-headed, Red-winged
Parrot, Timneh African Grey Parrot, Great-billed/Moluccan
Parrot dan Turquoise Parrot.
2.
PARAKEETS
Burung
Parakeets mempunyai saiz diantara 7
inci hingga 12 inci panjang. Ia mempunyai paruh cangkuk melengkung dan kaki
panjang konservatif yang sama seperti burung kakaktua lain. Parakeets juga kebanyakkannya mempunyai
ekor yang agak panjang.
Satu
ciri menarik tentang tingkah laku burung Parakeets adalah lebih gemar hidup
berkomuniti dengan spesies yang sama. Adakalanya ada jenis-jenis Parakeets yang akan berkelakuan buruk apabila diletakkan bersama-sama dalam satu
sangkar dengan spesies burung kakaktua yang lain. Pemilik Parakeets perlu mengetahui keunikkan tertentu jenis Parakeets yang
dipelihara supaya mudah mengendalikannya
dalam keadaan yang terbaik.
Burung
jenis Parakeets biasanya sakit tanpa
sebarang petanda. Manifestasi penyakit yang biasa adalah bulu pelepah yang
gugur, berehat kerap dengan kepala yang tersisip di bawah sayap atau bahagian punggung,
tidak makan dan keluar cairan dari lubang hidung atau mulut dan mata yang
berair. Pemilik perlu mempunyai pengetahuan asas tentang kepelbagaian penawar
serta ubat-ubatan yang boleh diambil selain hanya membawa berjumpa doktor
haiwan.
Makanan
Parakeets harus terdiri daripada
sumber utama seperti biji gandum dan sekoi ditambah dengan beberapa variasi
seperti kacang peas, lobak merah, tomato, epal, pisang dan seumpamanya. Air
putih tanpa klorin diperlukan setiap hari dan bekas air perlu dibersihkan
setiap hari juga. Antara snek yang boleh ditawarkan pada Parakeets sekali
sekala adalah seperti bertih jagung(popcorn)
ataupun honey stick (sejenis makanan
haiwan berbentuk batang yang diperbuat daripada madu). Cuttlebone atau tulang sotong juga perlu disediakan di dalam
sangkar untuk membekalkan keperluan kalsium untuk tulang yang kuat dan membantu
proses bertelur kelak sekiranya berlaku.
Contoh
Parakeets: Ring-necked/ Rose-ringed Parakeet, Alexandrine Parakeet, Monk
Parakeet/ Quaker Parrot, Blossom-headed Parakeet, Budgie, Mountain
Parakeet, White-winged/(Canary-winged) Parakeet, Cobalt-winged
Parakeet dan Malabar/ Blue-winged Parakeet.
3.
PARROTLETS
Bagi
yang mahu burung kakaktua kecil dengan personaliti burung kakaktua jenis besar,
Parrotlets adalah jawapannya. Burung jenis Parrotlets sememangnya mempunyai
personaliti burung kakak tua besar tetapi tidaklah mempunyai selera makan yang
besar seperti mereka.
Jangka
hayat yang tepat bagi Parrotlets
tidaklah diketahui namun bagaimanapun, ia dipercayai mampu hidup sekitar 15 hingga 20 tahun atau lebih.
Walaupun mereka tidak kebal kepada penyakit burung namun jika dijaga dengan
baik, Parrotlets agak kurang
dihinggapi penyakit. Jika diberi makan dengan baik, dijaga sangkar dengan
bersih, tidak terdedah kepada burung lain dan dilindungi daripada
penyebab-penyebab kemalangan, kebanyakan Parrotlets boleh menjalani kehidupan
yang agak lama berbanding burung yang sama saiz dengannya.
Saiz
sangkar minimum bagi memelihara Parrotlets
sepatutnya adalah 18 "x 18" x 18 "dengan jarak bar maksimum
1/2" - 5/8 ". Parrotlets lebih
selesa dalam sangkar yang lebih panjang daripada yang tinggi. Sangkar itu harus
diletakkan di mana ia boleh dengan mudah dikeluarkan untuk pembersihan. Sangkar
yang mempunyai tray atau bekas di
bahagian bawah adalah yang terbaik untuk
menghalang paruh,bulu dan kaki burung terkena najisnya, makanan basi dan
kekotoran lain.
Selain
memakan bijirin atau pellet, Parrotlets masih
memerlukan buah-buahan segar dan sayur-sayuran setiap hari. Parrotlets berkembang sihat pada diet
asas seperti buah-buahan segar, sayur-sayuran, roti gandum, nasi, pasta, kentang
dan kacang kering. Air bersih, blok mineral dan cuttlebone perlu disediakan pada setiap masa. Penyediaan sumber bijirin
yang banyak dan makanan berprotein juga mampu menyihatkan lagi Parrotlets anda .
Hanya sediakan makanan berkualiti tinggi, segar dan makanan yang belum dijamah.
Peraturan asas yang terbaik adalah jika ia tidak sesuai untuk anda, maka
makanan itu juga tidak sesuai untuk Parrotlets.
Contoh
Parrotlets: Pacific/Celestial Parrotlet,
Blue-winged Parrotlet dan Green-rumped
Parrotlet.
4.
CONURES
Conures tidak cerewet tentang makanan mereka.
Mereka suka diet yang pelbagai dan sebolehnya disediakan dengan makanan yang
memberikan pelbagai bentuk, saiz, warna dan tekstur. Pellet berwarna yang
datang dalam bentuk yang berlainan lebih digemari berbanding yang biasa.
Buah-buahan dan sayur-sayuran perlu sentiasa menjadi sebahagian daripada diet Conures. Kebanyakan makanan yang baik
untuk manusia boleh diberikan kepada Conures
namun berhati-hati terhadap makanan yang mengandungi banyak garam, lemak atau
gula kerana sistem penghadaman Conures
tidak dapat untuk memprosesnya.
Cahaya
dan suhu lokasi yang dipilih untuk sangkar burung yang perlu diambil kira
sebelum meletakkannya. Suhu yang selesa kepada manusia umumnya selesa untuk Conures juga. Ini kerana Conures memerlukan cahaya matahari
secara tidak langsung untuk kekal sihat.
Personaliti
Conures adalah aktif, suka bermain, berani dan penyayang. Conures adalah amat berbakat dalam pembelajaran helah dan merupakan
makhluk yang amat penyayang dan membuatkan pemiliknya seronok untuk
memeliharanya. Sesetengah Conures mampu bergaul dan bersosial dengan sesiapa
sahaja manakala ada juga yang hanya jinak dan mahu beraksi dihadapan tuannya
sahaja.
Conures bukanlah jenis kakaktua yang mampu
mengajuk suara dengan baik dan jika ia mampu pun hanya akan bercakap sepatah atau dua. Adakala suara Conures membingitkan telinga dan sebab itulah pemilihan spesies
Conures yang tepat perlu diambil kira bersesuaian dengan kediaman anda. "Suara"
mereka tidak jelas jika dibandingkan dengan burung kakak tua yang lebih besar
dan selalunya hanya pemiliknya memahami apa yang ia katakan.
Contoh
Conures : Sun Conure, Golden/ Queen of Bavaria Conure, Golden-capped
Conure, Aztec Conure, Green
Conure, Green-cheeked Conure dan Nanday Conure.
5.
LOVEBIRDS
Lovebirds adalah haiwan peliharaan yang sangat
popular kerana ia tidak mengambil ruang yang banyak dan tidak bising seperti
spesies burung kakaktua yang lebih besar. Lovebirds
juga agak tahan lasak dan tidak mudah diserang kebanyakan penyakit selagi
persekitarannya sentiasa bersih dan diberi pemakananan yang seimbang. Sangkar
juga perlu disediakan pada saiz yang betul dengan aksesori seperti bekas
makanan dan bekas air yang sesuai, perch
(tempat bertenggek) dan mainan. Lovebirds sangat suka bermain dan aktif
dan memerlukan tempat yang sesuai dengan sifat dan telatah mereka.
Ia
adalah kepercayaan umum yang Lovebirds
mesti dipelihara secara berpasangan. Ini sebenarnya tidak benar. Lovebird yang dipelihara secara tunggal
membuatkan haiwan peliharaan yang lebih baik kerana ia lebih bonding ( pertalian/hubungan yang erat)
dengan pemilik. Walau bagaimanapun, jika pemilik tidak mampu menghabiskan masa bersama yang kerap dan memberi perhatian
yang diperlukan, kehadiran teman daripada spesiesnya akan mengelakkan burung
kebosanan dan boleh membuat ia gembira.
Lovebirds boleh dibiakkan sama ada dalam
kumpulan yang besar di dalam aviary (sangkar yang bersaiz besar) atau sepasang-sepasang
di dalam sangkar pembiakan yang berasingan. Sama ada dipelihara untuk pembiakan
atau tidak, pemakananan yang mesti disediakan padanya termasuk makanan segar
,gandum, tongkol jagung, kacang,bijirin, beras perang serta sayur-sayuran. Cuttlebone (tulang sotong) dan air yang
banyak juga perlu sentiasa disediakan.
Contoh
Lovebirds : Fischer's Lovebird,
Masked Lovebird, Black-cheeked
Lovebird, Black-winged/Abyssinian Lovebird dan
Nyasa/Lilian's Lovebird.
6.
LORIKEETS
Lorikeets atau Lori juga adalah keluarga burung kakaktua. Terdapat pelbagai jenis
Lorikeets namun ia boleh dibahagikan
kepada 2 kategori utama iaitu Lorikeets
Australia yang agak kecil dan Lorikeets Tropika yang saiznya lebih
besar. Lorikeets adalah burung
kakaktua yang suka bermain dan sangat bertenaga. Ia suka makan nektar dan
buah-buahan berbanding memakan bijiran pada habitat asalnya. Oleh itu, Lorikeets memerlukan diet yang khusus
iaitu campuran madu, buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin.
Lorikeets dikenali sebagai pemakan yang makan
dengan berselerak dan agak mengotorkan sangkar dan biasanya akan bersepah
dengan najis mereka yang agak basah.
Burung-burung ini memerlukan pemilik rajin yang sanggup membersihkan sangkar setiap
hari untuk mencegah jangkitan bakteria. Lorikeets
adalah sangat mudah terdedah kepada pencemaran bakteria dan yis daripada
makanan dan sangkar mereka.
Jenis
Lorikeets yang lebih kecil adakalanya
menjadi haiwan peliharaan yang lebih baik kerana perwatakannya yang lebih
lembut mereka manakala Lorikeets yang
lebih besar sangat pintar dan itu menjadikan ia haiwan peliharaan yang sangat
dikehendaki bagi mereka yang mencari burung yang suka bermain dan bertenaga. Lorikeets merupakan Talkers (peniru suara) yang baik tetapi boleh menjadi amat bising
kadangkala. Namun tabiat ini boleh dielakkan dengan melatihnya dengan displin
yang betul. Lorikeets juga dikenali
kerana kehebatannya meniru yang agak luar biasa dan ia sering meniru bunyi
perkakasan rumah seperti bunyi telefon , gelombang ketuhar mikro (microwave) dan sebagainya.
Contoh
Lorikeets : Red Lory, Rainbow Lorikeet, Rosenberg's
Lorikeet, Musk Lorikeet, Perfect/
Olive-headed Lorikeet, Chattering Lory dan Mount Goliath
(Papuan) Lorikeet.
7.
MACAWS
Sumber
sejarah ada mengatakan bahawa Macaws
telah disimpan di dalam kurungan (captivity)
atau maksud lain dipelihara oleh manusia sejak tahun 1100 selepas masihi. Ini
mungkin kerana kecantikannya yang
menyerlah serta karisma personalitinya yang memikat. Terdapat kira-kira 17
spesies Macaws yang boleh didapati di
dalam hutan hari ini.
Macaws hidup lebih lama daripada anjing dan burung.
Dengan diet yang sihat, latihan yang baik, peluang untuk bersantai luar daripada
sangkar mereka dan perhatian sewajarnya, pemilik Macaws dijamin mempunyai teman hidup yang panjang. Pada permulaan
proses membiasakan diri anda dengan Macaws
milik anda kemungkinan agak sukar tetapi ikatan yang amat erat terjalin
selepas itu akan menjadikan susah payah anda dalam melayani dan memahami mereka
amat berbaloi.
Macaws mempunyai kecenderungan menjerit
dengan suara yang terlalu kuat dengan suara yang mempu kedengaran pada jarak
yang jauh. Selain itu Macaws umumnya
burung yang mempunyai pelbagai ragam dan menuntut perhatian yang khusus
daripada anda. Ini adalah mengapa keputusan untuk mempunyai Macaws sebagai binatang peliharaan di
rumah perlu difikir sedalam-dalamnya. Ianya burung yang menunjukkan satu tahap
kecerdasan yang tinggi melalui tingkah laku mereka dan memerlukan stimulasi
intelek yang berterusan untuk memenuhi rasa ingin tahu semula jadi mereka.
Kebosanan bagi mereka kadang-kadang
diluahkan dengan reaksi menjerit atau
mengunyah pelbagai objek.
Diet
Macaws terdiri daripada hidangan buah-buahan,
sayur-sayuran dan kekacang. Suplemen diet seperti vitamin adalah penting untuk
kesihatan berpanjangan.. Pilihan makanan tambahan termasuk sedikit bahagian pasta, ayam belanda yang dimasak, atau
paha ayam direbus dan salad adalah adalah menjadi kegemaran Macaws.
Contoh
Macaws: Blue & Gold/ Blue & Yellow Macaw, Scarlet Macaw, Green-winged/
Red & Green Macaw, Military Macaw, Chestnut-fronted/Severe Macaw, Spix
Macaw dan Hahn's/ Red-shouldered Macaw.
8.
AMAZONS
Kakaktua
Amazons popular kerana kebolehan vokal
yang luar biasa, sangat suka bermain dan ketangkasan kaki mereka. Sesetengah
jenis mempunyai suara garau dan suara rendah tetapi kebanyakkan jenis Amazons mampu meniru suara yang sama
seakan manusia. Mereka boleh menggunakan alunan yang berbeza dan jarang sekali
berbunyi dalam nada yang sama. Keupayaan luar biasa Amazons meniru bunyian atau suara tanpa latihan yang formal adalah
satu keajaiban.
Bagi
mereka yang ingin untuk mempunyai jenis burung kakaktua yang petah bercakap, si
Amazons yang petah perlu dalam
senarai perhatian anda sebagai burung yang ingin dipelihara. Tiga jenis
kakaktua Amazons yang paling popular
adalah Double-Yellow Heads, Yellow-Napes dan Blue-Fronts. Ianya agak sukar untuk melabelkan yang mana lebih
betah dan petah antara jenis-jenis itu kerana keupayaan antara mereka hampir
sama. Amazons sangat suka pada muzik
dan mampu menyanyikan lagu-lagu dengan lengkap termasuk mengingati semua
perkataan dalam nada yang sempurna.
Amazons memerlukan sangkar yang sama ada segi
empat sama atau segi empat tepat. Sangkar bulat tidak digalakkan. Bar harus
cukup tebal untuk menghalang Amazons
daripada menggigit. Kunci yang bersesuaian sangat diperlukan kerana burung ini
cepat belajar bagaimana untuk membuka sangkar mereka. Amazons lebih gemar memanjat daripada terbang dan oleh itu bar
melintang atau permainan yang sesuai perlu disediakan supaya sesuai dengan
naluri semulajadi mereka. Sangkar itu seeloknya diletakkan di bawah paras mata
pemilik untuk memberi kelebihan kepada pemilik mengambil peranan sebagai
dominan(sifat mengawal dan mengetuai). Saiz minimum bagi sangkar harus 21
"x 21 'x 27" atau cukup besar untuk burung untuk mengepak sayap tanpa
menyentuh tepi sangkar.
Amazons memerlukan Vitamin A dalam dietnya dan
ini perlu dibekalkan melalui makanan yang kaya dengan Vitamin A dalam diet
mereka. Ini termasuk sayur-sayuran berdaun hijau gelap dan sayur-sayuran kuning
seperti lobak merah, jagung dan sari buah buahan. Pemilik juga perlu
menyediakan pellet dan sedikit kuaci namun kuaci daripada biji bunga matahari
tidak digalakkan. Amazons adakalanya
memprotes dengan menggigit pemiliknya kerana tidak memberi makan kepada mereka
pada masa yang ditetapkan.
Contoh
Amazons : Blue-fronted/ Turquoise-fronted Amazon, Orange-winged
Amazon, Green-cheeked/ Red-crowned Amazon, Honduras
(Yellow-naped) Amazon, Red-lored Amazon dan Tucuman Amazon.
9.
COCKATOOS
Cockatoos mempunyai paruh bercangkuk yang agak
kuat, lidah berisi tebal dan pendek dan kaki yang kuat . Cockatoos adalah satu-satunya burung kakak tua yang mempunyai crests
iaitu bulu panjang di atas kepala
yang boleh dinaikkan atau diturunkan.
Kebanyakan
Cockatoos adalah putih tetapi ada
yang juga yang berwarna merah jambu atau kuning serta mempunyai crests dalam warna-warna lain. Di dalam
hutan, Cockatoos biasanya terbang berkelompok dalam kumpulan yang kecil dari
satu puncak pokok ke puncak pokok yang lain. Ia memakan buah-buahan, bijian dan
kekacang. Beberapa spesies Cockatoos
boleh dijinakkan tetapi hanya sedikit yang boleh diajar untuk bercakap.
Terdapat
kira-kira 17 spesies Cockatoos dan
saiznya adalah diantara 12" ke 27" panjang. Cockatoos burung yang
sesuai untuk orang dewasa, ini disebabkan oleh beberapa masalah tingkah laku
yang memerlukan kesabaran yang tinggi. Namun dengan ilmu dan pengetahuan yang
cukup kes tingkah lakunya yang buruk boleh dielakkan. Antara masalah tingkah
laku sesetengah jenis kakaktua Cockatoos
adalah menjerit dengan amat kuat.
Cockatoos mungkin yang mempunyai suara yang
paling lantang berbanding jenis burung kakaktua yang lain. Mereka suka
menjerit, seolah-olah untuk menunjukkan kegembiraan atau keresahan tertentu. Cockatoos yang bersaiz kecil agak lebih
tenang termasuk tabiat menjeritnya juga kurang berbanding yang bersaiz besar.
Kebanyakan
Cockatoos suka mandi terutama dengan kaedah semburan. Semburan dengan alat
penyembur menghasilkan kabus halus dan ia bagi burung seolah-olah rintik hujan
yang jatuh. Adakalanya Cockatoos
lebih suka bahawa pemilik menyembur mereka secara langsung sehingga mereka
benar-benar basah. Ia adalah ideal untuk
sentiasa untuk klipkan sayap mereka dan memotong kukunya.
Contoh
Cockatoos : Sulphur-crested Cockatoo,
Umbrella/White Cockatoo, Goffin's
Cockatoo/Tanimbar Corella, Cockatiel dan dan Palm/ Goliath Cockatoo.
10.
CAIQUES
Saiz
burung kakaktua ini adalah kecil tetapi berat. Badannya agak padat dan gempal
dengan dada seakan tong, pendek dan ekornya berbentuk persegi. Purata berat
seekor Caiques dewasa adalah
kira-kira 150-175 gram dan purata jangka
hayatnya ialah 30 tahun. Mereka mempunyai sayap seakan span dan sempit yang
bersesuaian dengan berat badan mereka dan ini bermakna ia bukanlah jenis kakaktua
yang mampu membuat penerbangan jarak jauh. Caiques
mempunyai kecenderungan untuk hidup berkumpulan dan menghabiskan bersama-sama
di puncak pokok pada habitat semula jadi mereka. Suara dan interaksi lisan
antara mereka boleh dikatakan agak kuat.
Keupayaan
Caiques bercakap tidaklah benar-benar
membanggakan tetapi apabila mereka bercakap sudah cukup baik untuk difahami,
lebih-lebih lagi jika mendengar dalam kedudukan jarak yang rapat atau dekat
dengannya. Suara mereka kecil dan nada tinggi seakan sama seperti Budgies . Mereka dengan mudah belajar
bersiul irama muzik dan sememangnya menunjukkan kelebihan dalam meniru bunyi
siulan.
Caiques tiada keperluan diet yang khas. Pellet
yang ditambah dengan buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan lain yang sama
dengan jenis-jenis burung kakaktua lain akan memenuhi keperluan dan kehendak
mereka. Ia adalah disyorkan untuk memberi sayuran yang mempunyai batang hijau
kerana ia merupakan kesukaan Caiques
sebab ia sangat gemar mengunyah.
Perangai
yang sukar dipisahkan daripada kakaktua
Caiques adalah amat gemar bermain dan ia melakukan ini dengan penuh tenaga
dan semangat yang tinggi. Badan Caiques
yang montok itu sangat secocok atau sesuai dengan aktiviti harian mereka seperti
mendaki, bergayut, berpusing-pusing, bergantungan, melompat seperti arnab dan
pelbagai aksi lagi. Mereka mempunyai keinginan untuk dimanja dan dibelai lebih
daripada spesies kakaktua yang lain.
Contoh
Caiques : White-bellied Caique,
Yellow-thighed Caique dan Black-headed
Caique.
11.
POICEPHALUS
Burung
kakaktua Poicephalus bersaiz kecil
hingga sederhana. Burung kakaktua ini mempunyai paruh yang kukuh dan kuat serta
badannya agak gempal. Kebanyakkan kakaktua Poicephalus
berasal daripada negara-negara Afrika.
Jenis
burung kakaktua Poicephalus biasanya
mempunyai kualiti yang sangat ingin belaian kasih saying dan bersifat
keanak-anakan. Mereka mempunyai potensi untuk berkelakuan sangat baik dan bijak bersosial. Burung kakak
tua Poicephalus tidak bising dan
mempunyai suara garau dan semestinya mereka tidak menjerit untuk menarik
perhatian. Kebanyakan dapat bercakap dengan
sangat baik dan kemampuan memorinya untuk menghafal hampir seratus patah
perkataan. Suara mereka agak serupa dengan suara simulasi komputer tetapi sudah
cukup untuk difahami.
Burung
aktif seperti burung kakaktua Poicephalus
memerlukan pelbagai mainan untuk hiburan. Sebagai burung yang dibela seekor
sahaja, permainan dan layanan sepatutnya sudah cukup memenuhi keperluan dan
kegembiraan mereka. Mereka tidak memerlukan pasangan atau rakan burung yang
lain bagi membuat mereka ceria dan gembira.
Sesuatu
yang menarik adalah walaupun ditinggalkan sendirian untuk beberapa hari,
kakaktua Poicephalus tidak menunjukkan
kecenderungan ke arah masalah tingkah laku. Ini tidak bermaksud untuk
mengatakan bahawa mereka tidak perlu berinteraksi dengan pemiliknya. Sama
seperti burung kakaktua yang lain, ia
masih memerlukan perhatian dan belaian tetapi bezanya ianya lebih sabar
sekiranya tidak dilayan jika anda sibuk. Walaubagaimanapun, masa berinteraksi
dengan penjaga mereka perlu dilakukan secara tetap contohnya setiap jam 6
petang iaitu ketika pulangnya pemilik daripada tempat kerja. Poicephalus yang diabaikan akan menjadi
lebih suka tinggal dalam sangkar dan enggan keluar darinya (cage bound) dan anti-sosial.
Diet
kakaktua Poicephalus harus
mengandungi campuran biji benih bersaiz kecil dan besar. Ia juga hendaklah
ditambah dengan pelbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran. Diet yang baik,
udara yang segar, ruang sangkar yang selesa ditambah dengan persekitaran yang
bahagia merupakan idea terbaik untuk mengekalkan Poicephalus sentiasa kekal sihat dan gembira.
Contoh
Poicephalus : Senegal Parrot, Meyer's Parrot, Red-bellied
Parrot, Brown-headed Parrot, Ruppell's
Parrot, Jardine's Parrot dan Cape Parrot.
12.
PIONUS
Apa
yang membezakan burung kakaktua Pionus
daripada saudara-mara dari jenis kakaktua yang lain adalah ia bersaiz sederhana (di pertengahan
antara saiz Amazons dan saiz Caiques) dan terdapat bulu pelepah
berwarna merah di bawah ekor mereka. Pelepah yang berwarna terang di bawah
ekornya ini satu ciri utama kesemua lapan spesies dan sub-spesies Pionus. Walaupun warna dan kecerahan
warnanya berbeza antara spesies, melihat dengan teliti di bawah ekor burung
kakaktua Pionus membuatkan kita dapat
membezakan dengan mudah berbanding jenis yang lain.
Pionus merupakan burung kakaktua yang amat
sesuai dipelihara sama ada bagi kanak-kanak atau orang dewasa. Mereka mempunyai
sifat yang lembut, berkarakter agak lucu dan sangat suka didekati manusia. Mereka
boleh belajar bercakap beberapa perkataan tetapi personalitinya yang
menyenangkan sebenarnya telah menjadikan mereka burung kakaktua yang hebat.
Pemakanan
yang seimbang untuk Pionus terdiri
daripada buah-buahan, sayur-sayuran segar,campuran benih yang berkualiti tinggi
dan pellet burung kakaktua komersial. Penukaran air minuman dua kali sehari
atau apabila air sudah tercemar atau keruh adalah langkah yang perlu dalam
mengekalkan burung kakaktua yang sihat. Makanan yang kaya dengan vitamin A seperti
ubi keledek yang dimasak amat disyorkan.
Contoh
Pionus : Blue-headed Pionus, Bronze-winged Pionus, Coral-billed/Red-billed
Pionus, Plum-crowned/ Speckle-faced Pionus, White-headed/
Speckle-faced Pionus dan Scaly-headed/Maximilian's Pionus.
Mencari
ilmu tentang burung kakaktua sebelum membawanya ke dalam hidup anda adalah
penting untuk menyelesaikan masalah yang bakal berlaku. Hanya orang yang
benar-benar komited seeloknya memelihara burung kakaktua kerana ia adalah
haiwan yang memerlukan perhatian daripada anda . Janganlah membelinya hanya
kerana minat sementara kerana jangka hayatnya agak lama. Diharap info yang
diberi dapat membantu anda dalam mendapat gambaran awal dan info asas mengenai
burung kakaktua.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
ORDER SEKARANG !
PROMO PET
MENU ISTIMEWA
ENTRY POPULAR
-
Boleh dikatakan ramai antara kita sekurang-kurangnya bagi budak lelaki pernah memelihara ikan Laga ini semasa kecil. Pelbagai nama yan...
-
Terdapat pelbagai jenis burung kakaktua. Kakaktua merupakan binatang yang sesuai dijadikan teman kerana setiap darinya mempunyai daya tari...
-
Diharap artikel ini dapat membantu pemelihara-pemelihara Sugar Glider di luar sana. Memandangkan haiwan kecil ini semakin popular di...
ANDA PENGUNJUNG KE
USYAR2 SINI
Klip Pusat Ternakan Keli oh Keli
CATATAN TERDAHULU
- January 2015 (2)
- October 2014 (1)
- August 2014 (1)
- July 2014 (1)
- June 2014 (2)
- January 2014 (1)
- November 2013 (1)
- October 2013 (1)
- June 2013 (1)
- April 2013 (1)
- January 2013 (2)
- October 2012 (1)
- September 2012 (1)
- March 2012 (1)
- January 2012 (1)
- November 2011 (1)
- October 2011 (1)
- September 2011 (3)
- August 2011 (2)
- July 2011 (2)
- June 2011 (3)
- May 2011 (4)
- April 2011 (3)
- March 2011 (3)
- February 2011 (4)
- January 2011 (5)
- December 2010 (4)
- November 2010 (6)
- October 2010 (7)
- September 2010 (1)
- August 2010 (11)
- July 2010 (6)
- June 2010 (6)
- May 2010 (8)
- April 2010 (10)
- March 2010 (35)
- February 2010 (2)
- January 2010 (8)
- December 2009 (22)
- October 2009 (1)
1 comments:
Casino 2021 - Mapyro
Get directions, reviews and 용인 출장샵 information for Casino 2021 in Highland, 김해 출장안마 IL. Casino Parking, 김제 출장안마 Lazy River Resort, Casino Shuttle Service and more. Rating: 수원 출장마사지 3.8 · 10 전라남도 출장샵 reviews
Post a Comment