KAMI GENG SUKA IKAN KELI

LEMON : KAKAKTUA SENEGAL SI JANTUNG HATI NAIMAN


Burung kakak tua Senegal (Poicephalus senegalus) merupakan yang paling terkenal dan paling popular dalam keluarga Poicephalus, yang termasuk Meyer, Red-bellied, dan Jardine Parrots. Kakaktua Senegal milik Naiman yang diberikan nama "Lemon" itu dipelihara sejak April 2011 dan menjadi teman setianya dirumah. Naiman yang masih berlajar di Institusi Pengajian Tinggi Awam dalam jurusan Sarjana Sains (penyelidikan) ternyata begitu selesa dengan kehadiran Lemon yang begitu setia menemaninya sewaktu mengulangkaji pelajaran. Apabila ditanyakan mengenai mengapa nama buah yang diberikan kepada kakaktua senegal nya itu, Naiman tersenyum sambil berkata "Dia menyahut apabila saya menyebut lemon dan semejak dari itu saya namakan dia Lemon".

Kakatua Senegal adalah burung hijau dengan kepala yang berwarna hitam dan pipinya yang agak kelabu. Mempunyai warna berbeza di bawah bahagian perut atau kadang-kadang dikenali sebagai “V” jaket yang mempunyai iris kuning terang. Seperti namanya ia berasal dari Senegal, tetapi spesies ini juga terdapat daripada negara lain. Kakaktua Senegal dibahagikan kepada 3 sub spesies yang mudah dikenalpasti melalui warna perutnya dan dikenali dengan nama-nama berikut:

ü  Poicephalus Senegalus Senegalus: Sub spesies ini mempunyai warna bulu perut yang kekuningan. Kebanyakkannya berasal daripada  Selatan Mauritania, selatan Mali ke Guinea dan Kepulauan Los.

ü  Senegalus Poicephalus Versteri: Kakaktua Senegal ini mempunyai warna bulu perut yang merah dan datang daripada Ivory Coast ,Ghana dan Nigeria.

ü  Poicephalus Senegalus Mesotypus: Jenis ini mempunyai warna bulu perut yang kejinggaan dan datang daripada Timur dan Utara-timur Nigeria, Cameroon utara ke selatan-barat Chad.

Menurut Naiman kaktua Senegal yang lebih mesra dengan gelaran Sennie oleh pencinta kakaktua Afrika itu seringkali disalah anggap dengan spesies tempatan tempatan iaitu "Blue Rumped Parrot" atau nama tempatannya Puling / Tanau. Ini adalah kerana kedua-dua spesies ini mempunyai fizikal yang seakan-akan sama jika dilihat dari jarak jauh. Sambil memandang kearah Lemon, Naiman menjelaskan perbezaan diatara kedua-dua species itu. Diantaranya saiz Puling yang lebih kecil dari Sennie, paruh Puling jantan yang berwarna merah dan Sennie berwarna hitam dan perbezaan warna pada dada kedua-dua species.


Kehidupan Habitat Asal
Ia hidup di hutan yang lembab dan di tepi savana. Kakaktua Senegal memakan benih, buah-buahan dan bijirin. Ia juga gemar benih kekacang serta tunas daun yang tumbuh melata di atas pokok-pokok. Kakaktua Senegal dianggap haiwan perosak oleh petani tempatan, kerana mencuri makan jagung dan sekoi di ladang mereka. Selain itu , kakaktua ini juga sering mencuri bijirin-bijirin yang dijemur di bawah panas matahari. Ia gemar bersarang di pokok-pokok yang berongga.

Kesesuaian Sebagai Haiwan Kesayangan
Bagi yang dapat memelihara kakaktua Senegal yang disuap makan daripada kecil merupakan keadaan terbaik dalam memelihara burung ini.  Saiz kakaktua Senegal yang tidak begitu kecil atau begitu besar menjadikannya haiwan kesayangan yang praktikal. Suaranya tidaklah terlalu bising dan akan belajar untuk bercakap serta meniru bunyi seperti berderit pintu garaj, kenyaringan gelombang mikro, deringan telefon dan lain-lain. Walaupun suaranya tidaklah sejelas tona dan nada Congo African Grey (CAG), tetapi ia tetap menghiburkan .
Menurut Naiman Lemon mampu menghasilkan bunyi kuat dan nyaring apabila teruja namun bunyi tersebut sangat jarang dihasilkan dan menjadikan Sennie spesies kakaktua yang agak pendiam dan senyap berbanding spesies kakaktua yang lain. Ini adalah faktor utama yang menjadikan Lemon sebagai pilihan beliau. Menurut Naiman lagi Lemon mempunyai saiz badan yang kompak dan tidak memerlukan sangkar yang begitu besar, ini bersesuaian dengan tempat tinggal yang kecil seperti pangsapuri. Sennie mempunyai perwatakan yang lucu dan akan banyak menghabiskan masa bermain. Lemon juga seperti keluarga Poicephalus yang lain akan rapat dan selesa dengan pemiliknya sahaja namun dengan pengenalan yang betul, Lemon boleh mesra dengan individu lain juga. Walaupun Sennie mampu menjadi haiwan peliharaan yang baik namun Naiman lebih menggalakkan kepada mereka yang mempunyai pengalaman tentang kakaktua kerana walaupun Sennie bersaiz kecil namun ia mempunyai perwatakan yang besar dan memerlukan  pemilik yang berpengalaman untuk mengendalikannya.  
Kakaktua Senegal dewasa yang diimport tidak seharusnya dianggap sebagai pilihan yang baik untuk diadikan haiwan kesayangan. Hakikatnya kita tahu bahawa ia akan menjadi jauh lebih murah tetapi amat sukar untuk burung itu menjadi jinak.


Pemakanan
Diet pemakanan Sennie terdiri daripada campuran benih and kekacang berkualiti, buah-buahan dan sayur-sayuran. Bagi Naiman mendapatkan makanan untuk Lemon tidaklah sukar kerana lambakan jenis makanan yang mudah didapati pasaran, tetapi pemilik burung kakaktua haruslah peka dengan produk yang dibeli bagi memastikan haiwan kesayangan mendapat nutrisi yang diperlukan. Naiman memilih pellet sebagai makanan utama untuk lemon meskipun campuran benih dan kekacang turut diberikan. Menurut beliau ini adalah kerana kebanyakan burung kakaktua akan memilih untuk makan benih dan kekacang kesukaan sahaja, dengan menjadikan pellet sebagai makanan utama Lemon akan mendapat nutrisi yang diperlukan. Antara makanan yang diberikan kepada Lemon adalah seperti campuran benih dan kekacang dari Sunseed, pellet dari Harrison's Bird Foods dan Hagen Tropican. Naiman juga turut memberikan campuran buah-buahan dan sayur-sayuran seperti epal, pear, oren, kacang panjang, kangkung, lobak merah, brokoli dan pelbagai lagi setiap selang sehari. Naiman sangat menitik beratkan pemakanan kesemua haiwan peliharaan beliau, ini adalah kerana menurut beliau dengan diet yang sempurna haiwan peliharaan sukar dijangkiti penyakit dan dapat memanjangkan hayat. Sebagai contoh pada habitat asal Sennie mempunyai jangka hayat 20 - 30 tahun, namun, burung dalam kurungan dengan diet yang lebih sempurna mampu hidup sehigga 50 tahun.


Penginapan
Kakaktua Senegal boleh dipelihara dalam sangkar atau aviaries. Tempat penginapan burung ini perlulah senang untuk dikendalikan terutama sekali dalam soal pembersihan sisa makanan dan najis burung. Selain itu tempat sangkar atau avieries burung perlu bebas dari pencerobohan makhluk perosak seperti tikus dan sebagainya.
Paling sesuai adalah penginapan avieries yang mempunyai kesesuaian burung untuk berterbangan seluas 6 kaki panjang oleh 6 kaki tinggi oleh 3 kaki lebar. Jika burung-burung yang akan disimpan dalam sangkar, cadangan saiz minimum 4'x3'x3 '. Penternak atau pemilik yang berbeza akan mempunyai idea yang juga berbeza tentang luas dan saiz sangkar.
Bagi pemilik yang memelihara Sennie didalam rumah haruslah menyediakan pelbagai mainan bagi meransang minda dan mengurangkan stres ketika berada lama didalam sangkar. Sennie juga haruslah dibenarkan untuk bermain diluar sangkar untuk bersenam bagi meningkatkan kualiti kesihatan.
Menurut Naiman, permainan untuk kakaktua tidak semestinya dibeli kerana pemilik mampu membuat sendiri permainan-permainan tersebut. Permainan yang dibuat boleh terdiri daripada kertas, kotak, kayu, tali dan plastik yang bebas bari bahan-bahan beracun. Permainan yang diperbuat daripada kertas, kotak dan kayu akan digigit, kunyah dan diceraikan oleh Lemon, ini adalah tabiat semulajadi burung kakaktua dihabitat asal. Selain itu makanan kegemaran Lemon seperti kuaci dan badam turut disembunyikan didalam permainan yang dibuat oleh Naiman bagi meransang IQ Lemon untuk berfikir dan berusaha untuk mendapatkan makanan tersebut.

Jantina
Satu-satunya kaedah dipercayai adalah dengan kaedah pembedahan atau DNA. Kedua-dua kaedah ini boleh dilakukan oleh pakar veterinar burung. Jika di luar negara terdapat kaedah alternative seperti kit DNA sexing  yang boleh diperolehi melalui pesanan pos. Satu sampel darah diambil dengan memotong jari kaki kuku Kakaktua Senegal. Setitik darah yang diperolehi akan disimpan di dalam tiub kapilari khas yang disediakan dan dikembalikan ke makmal untuk ujian.
Terdapat banyak teori bagaimana untuk menentukan jantina burung Kakaktua Senegal secara visual. Si betina mempunyai bentuk kepala yang dan paruh lebih kecil berbanding si jantan yang mempunyai kepala lebih bulat dan paruh yang lebih besar. Satu lagi pemerhatian yang dibuat adalah dengan melihat bentuk atau corak jaket.  "V" jaket pendek bagi si jantan dan coraknya berhenti di suatu tempat antara bahagian atas dada atau pertengahan ke hadapan, manakala “V” jaket bagi Kakaktua Senegal betina adalah adalah lebih memanjang dan berakhir antara kaki. Namun pengelasan secara visual ini hanya dapat dilakukan oleh yang benar-benar pakar kerana amat sukar membezakan secara tepat melalui kaedah ini.
Lemon adalah kakaktua Senegal jantan namun menurut Naiman jantina Lemon tidak dapat dipastikan 100% benar kerana semua kakaktua Senegal yang belum matang secara visual akan lebih menyerupai kakatua senegal betina melainkan ujian DNA dilakukan. Bagi Naiman jantina Lemon tidak penting kerana apa jua jantina Lemon, beliau tetap akan menyayangi Lemon.


Pembiakan dalam Kurungan
Kebiasaanya yang kita ketahui, kebnyakkan kakaktua tidak akan membiak  sehingga berumur kira-kira 3 hingga 4 tahun . Kakaktua Senegal betina matang daripada segi seksual pada umur 2 tahun dan juga bermungkinan seawal 12 bulan. Si jantan Senegal pula mengambil masa yang lama dan untuk menjadi matang iaitu pada kira-kira 3 tahun. Umur yang bersesuaian untuk pembiakan perlulah bersesuaian supaya mengelak kejadian yang tidak diingini. Ada juga penternak yang mengambil jalan selamat iaitu membiakannya pada umur 6 atau 7 tahun.
Pembiakan burung kakaktua senegal dalam sangkar adalah sangat sukar dan hanya penternak berpengalaman digalakan untuk membiakan spesies ini. Ini adalah kerana kakaktua senegal mudah gelisah dan akan menunjukan keganasan terhadap pasangan terutamanya samasa musim pembiakan. Kerana faktor ini, kejayaan dalam membiakkan kakaktua Senegal sering tidak menentu. 
Kejayaan pembiakan adalah dikaitkan dengan tahap pengalaman pembiak baka itu, tahap ikatan dan keserasian mereka, serta kesihatan umum berhubung dengan persekitaran dan penjagaan yang diberikan.
Naiman masih belum merancang untuk mendapatkan pasangan untuk Lemon bagi tujuan pembiakkan, ini adalah kerana Lemon masih terlalu muda dan proses mencari pasangan yang serasi untuk Lemon adalah amat sukar.

Aktiviti Naiman Bersama Lemon
Seperti individu lain, Naiman hanya mampu untuk meluangkan masa awal pagi dan waktu malam untuk bersama Lemon. Selebihnya Naiman banyak menghabiskan hujung minggu bersama Lemon dalam aktiviti membersihkan sangkar, memandikan dan memotong kuku. Menurut Naiman aktiviti mingguan ini membuatkan Lemon lebih selesa dan percaya dengan nya. Selain itu Naiman turut  meluangkan masa mengajar Lemon untuk melakukan muslihat (trick) seperti melambai, membuka sayap, berpusing, memungut syiling, memanjat tali, dan banyak lagi. Aktiviti seperti ini cara terbaik untuk memastikan IQ burung kakaktua berkembang dan mendengar arahan. Latihan seperti ini juga dapat membantu dalam mengenali dan memahami bahasa badan burung kakaktua dan secara tidak lansung dapat mengeratkan hubungan antara pemilik dan burung kakaktua peliharaannya. Naiman turut memuatnaik video latihan Lemon di youtube.com carian NaimanEman.

TRIVIA
Panjang : 25 cm ( 10 inci )
Tempoh Pengeraman Telur : 28 Hari
Tempoh Anak Mempunyai Bulu Yang Penuh/Meninggalkan Sarang ( Fledgling Period ): 63 Hari
Jumlah Telur Yang Dikeluarkan Pada Sesuatu Masa : 3-4 butir telur


COUNTRYSIDE PENANG STABLE


Panarama yang indah,keadaan suasana yang mendamaikan dan kegembiraan yang sukar dilafazkan merupakan gambaran jika anda berada di Countryside Penang Stable.Anda tidak akan rugi sekiranya berkunjung kerana pasti ada detik-detik yang memompa keterujaan bersama kuda-kuda di sini seterusnya menjadi epilog indah dalam kehidupan anda. Rona keindahan alam di Countryside Penang Stable lebih terserlah tika senja melabuh tiba.

Lokasi Ideal
Countryside Penang Stable ini terletak di Sungai Burung , Balik Pulau , Pulau Pinang. Udara yang nyaman dapat terasa sewaktu anda menjejak kaki di kawasan ini. Di kelilingi pohon-pohon menghijau dan bukit-bukau di sekelilingnya membuatkan lokasi Countryside Penang Stable mempunyai keunikan dan keistimewaannya tersendiri. Kawasan seluas 2 ekar ini dimiliki oleh Encik Wan Aikhsan Bin Wan Jamil dan dikawal selia oleh isterinya Puan Doris Lim. Mula beroperasi awal tahun 2012 , tempat reakreasi ini tidak putus-putus menerima kunjungan daripada masyarakat setempat dan pelancong daripada luar negara. Tempat ini dibuka pada setiap jam 4.00 petang hingga jam 7.00 petang setiap hari. Terdapat 18 ekor kuda di sini yang terdiri daripada pelbagai baka seperti baka daripada Australia, Arab, Myanmar , Uruguay ,Thailand dan juga baka tempatan.


  
Program & Aktiviti
Telah menjadi persepsi ramai bahawa sukan berkuda sering dikaitkan dengan status sosial seseorang kerana kuda sinonim sebagai lambang kemegahan. Bagaimanapun, hari ini persepsi seperti itu seharusnya dikikis memandangkan semakin banyak pusat sukan berkuda boleh disertai orang ramai pada harga berpatutan. Menurut instruktur di sini saudara Shamsol Bin Abdul Aziz, antara aktiviti yang dijalankan di sini adalah seperti Joyride, menaiki kereta berkuda, mengambil gambar bersama kuda , latihan untuk menunggang kuda serta pelbagai lagi. Countryside Stable Penang juga menawarkan perkhidmatan penyewaan kereta kuda , menganjurkan keraian peribadi seperti sambutan hari jadi dan bagi yang mahukan kelainan pada majlis perkahwinan anda, pihak Countryside Stable Penang sedia menawarkan kuda-kuda yang segak dan bergaya untuk dipamerkan di majlis anda. Selain itu , di sini juga merupakan tempat latihan bagi atlit sukan berkuda Pulau Pinang untuk kejohanan SUKMA kelak.




Sukan Berkuda

Sejujurnya persepsi penulis tentang sukan berkuda ini telah berubah selepas menemubual dan berbicara dengan pemilik serta kru Countryside Stable Penang. Mereka berkongsi pelbagai ilmu tentang sukan berkuda ini dan berikut adalah merupakan fakta-fakta yang menarik mengenai sukan berkuda yang dikongsikan :

#1: Sukan berkuda BUKAN untuk golongan kaya sahaja.
Hakikatnya sesiapa sahaja boleh menceburi sukan ini. Dewasa ini di Malaysia terdapat banyak tempat riadah seperti Countryside Stable Penang. Mengenai bayaran pula, adalah tidak begitu mahal dan amat berbaloi. Sebagai contoh harga untuk tunggangan selama satu jam yang di tawarkan di Countryside Stable Penang adalah hanya RM 60.00.

#2: Kuda TIDAK GANAS!
Kuda bukanlah haiwan yang ganas, cuma kita perlu memahami karektor dan perasaannya. Faktanya kuda merupakan haiwan paling penyayang. Manusia boleh membina "ikatan" yang erat dengan kuda. Menurut Shamsol, jika hari hari kita belai dan kita membersihkanya. Sudah pasti ia akan mendengar dan menyayangi kita. Jangan sesekali takut dengan kuda, jika anda takut kuda dapat merasakan perasaan itu. Kalau tidak percaya , anda boleh cuba sendiri.


#3: Kebaikan dari segi kesihatan.
Berkuda amat baik untuk kesihatan manusia. Seluruh anggota tubuh badan dari kepala hingga ke kaki, dari fizikal hingga mental akan mendapat manfaatnya.Bentuk lekuk badan belakang kuda yakni tempat di tunggang adalah baik untuk merawat segala masalah tulang belakang manusia.
Semasa pergerakan galloping iaitu cara rentak kuda melompat dan berlari, menyebabkan vetebra tulang belakang manusia bergesel antara satu sama lain dalam keadaan harmoni, dan meransang saraf-saraf tulang belakang, seolah-olah diurut, sedangkan pakar chiropraktik  pun tidak mampu berbuat seperti gerakan natural tulang-tulang veterbra semasa orang menunggang kuda.
Sukan berkuda akan menggerakkan seluruh anggota badan si penunggang seperti tulang rangka, otot-otot, organ-organ viseral dan termasuklah sistem penghadaman, sistem  saraf, sistem voluntary mahupun involuntary, organ perkumuhan, malah geseran kepada organ-organ seksual akan teransang secara optimum untuk menjadi semakin sihat. Penunggang kuda yang hebat selalunya bebas daripada mengalami sakit belakang. Selain itu menunggang kuda turut mencerahkan mata sebab terdapat ransangan terhadap saraf kranial semasa gerakan ‘galloping ’ kuda.

#4 : Minda lebih fokus
Apabila anda menunggang kuda, fikiran akan menjadi lebih fokus oleh sebab minda akan dilatih untuk menumpukan perhatian terhadap cara menstabilkan diri agar tidak jatuh dan pada masa yang sama berupaya mengawal pergerakan kuda yang ditunggangni.
“Kuda mengajar penunggangnya untuk tidak berputus asa dan terus untuk cuba dan mencuba sehingga berjaya. Ia diibaratkan semangat juang yang ada pada seseorang pahlawan,” tambah saudara Shamsol.
Latihan menunggang kuda berjaya melatih individu si penunggang kuda untuk lebih bersemangat dengan tindakan dan keputusan yang perlu diambil pada masa akan datang.

#5: Sebagai Terapi
Individu yang pendiam dan sukar menyesuaikan diri dengan individu lain boleh mencuba rawatan terapi terkini menggunakan kuda. Mereka akan diajar cara untuk berkomunikasi dengan kuda bagi mendapatkan keserasian antara penunggang dengan seekor kuda. Lama-kelamaan, peserta yang mengalami masalah pendiam atau lebih dikenali sebagai introvert ini berubah menjadi seorang yang mudah bergaul dengan orang lain.



Perancangan Masa Hadapan
Puan Doris Lim berkongsi perancangan masa hadapan bagi mensaujana potensi Countryside Stable Pulau Pinang. Antara perancangan atau impiannya adalah menjadikan sukan berkuda ini sebagai sesuatu yang dekat dengan masyarakat. Beliau sebolehnya mahu mengikis tanggapan yang menaiki kuda ini sesuatu yang eksklusif. Puan Doris Lim juga ingin memperkenalkan dan memperluaskan sukan berkuda endurance di kalangan masyarakat di Pulau Pinang amnya. Sukan ini memerlukan ketahanan mental dan fizikal bagi penunggang dan juga kuda.
Untuk masa hadapan , Puan Doris Lim berkeyakinan penuh bahawa Countryside Stable Penang akan menjadi tempat tarikan pelancong bagi negeri Pulau Pinang. Berdasarkan potensi dan kapasiti yang ada, sudah tentu perkara ini bukan sekadar impian dan omongan yang kosong.


Maklumat lanjut boleh hubungi :
Countryside Stable Penang

012-4080678/0124871107

OLLO... PULANGLAH !


Ollo , kemana Ollo pergi ? Pulanglah..Mama rindukan Ollo. Rasa pedih di hati mama , rasa pilu mencengkam jiwa bila jasad Ollo tidak lagi di depan mata Mama. Sehari sebelum Ollo tinggalkan Mama , masih ingat lagikah yang hari sebelumnya itu hari jadi Mama. Ya , tanggal 20/5/2013 itulah ulangtahun hari jadi Mama dan kita menghabiskan masa menyambutnya bersama sama. Hari itu Ollo dan Mama sama-sama melewati tepian pantai dan juga kita  singgah ke Bukit Melawati. Masih terbayang tangan monyet yang panjang itu mengusik manja dengan mengelus ngelus bulu Ollo. Malamnya pula kita sama-sama menikmati keindahan dengan melihat kunang-kunang berterbangan berkerdipan. Oh, tiada Mama menduga yang besoknya Ollo akan pergi meninggalkan Mama sendirian.

Walaupun Ollo hanyalah seekor burung Sun Conure tapi Mama dah anggap Ollo sebahagaian daripada keluarga dan sentiasa ada tempat yang istimewa di hati Mama. Hubungan sayang dan keakraban antara Mama dan Ollo menjadi iktibar pada masyarakat betapa sifat menyayangi antara makhluk ciptaan tuhan itu sesuatu yang harmoni dan teramat indah. Ollo tentu ingat yang Ollo mempunyai peminat yang ramai melalui Fanpage di Facebook. Sesuatu yang Mama dedikasikan khas buat Ollo dan Ollo juga merupakan selebriti kerana pernah muncul di kaca televisyen. Ollo sememangnya makhluk ciptaan tuhan yang paling comel dan hebat bagi Mama. Mama rasa macam nk cubit-cubit geram Ollo bila mula-mula sekali datang dalam hidup Mama pada 26/11/2012. Masa itu , umur Ollo hanya sebulan.Nama Ollo itu Mama dapat ilham selepas melihat klip di Youtube tentang seorang pemilik Sun Conure yang mempunyai Sun Conure yang suka menyebut “ Hello..Hello.. “. Hati Mama berbunga –bunga sewaktu menonton dan getusan hati menggharapkan Ollo juga bijak sepertinya dan ternyata Ollo sememangnya Sun Conure yang paling bijak bagi Mama. Ollo masih kecil pada waktu itu dan bulu-bulu yang berwarna hijau, kuning,biru dan jingga yang lazimnya pada seekor kakaktua Sun Conure pun masih belum penuh di badan Ollo. Tangan Mama ini yang menyuapkan Ollo makan dan dari hari ke hari Ollo semakin membesar dan sihat. Hati mana yang tidak luluh pabila kehilanganmu duhai Ollo ? Berderai air mata Mama tatkala mengimbau kenangan itu Ollo.



Ollo hilang pada 21/5/13. Waktu itu Mama sedang tengah kerja di pejabat. Pagi itu Mama tergesa-gesa kerana agak terlewat ke tempat kerja. Mama tidak sempat untuk beri Ollo makan pada pagi itu dan Mama minta tolong teman rapat Mama untuk tolong tengok-tengokkan Ollo. Selalunya memang Ollo akan bebas bermain di luar rumah. Kalau Ollo lapar, waktu tengah hari Ollo akan pulang dan berdecit meminta air minuman dan makanan. Hati Mama dah rasa semacam apabila tengah hari itu, apabila Ollo tidak pulang-pulang. Mama ada panggil Ollo seperti selalu tetapi hampa apabila kelibat Ollo tak kunjung jelma. Mama mula menyalahkan diri Mama. Mama mula terfikir yang Ollo mungkin lapar pada waktu itu dan mengikuti sesiapa sahaja. Kemungkinan juga Ollo dicuri kerana perangai Ollo yang amat jinak. Kalau ada yang memanggil, pasti Ollo hinggap ke bahu si pemanggil. Ya Ollo..Mama mengaku Mama khilaf kerana terlalu percayakan Ollo untuk bebas bermain di luar. Seharusnya Mama meletakkan sedikit kebimbangan andai perkara seperti ini terjadi. Sesungguhnya Mama amat kesali terhadap kealpaan ini. Petang itu juga Mama mencetak poster tentang kehilangan Ollo. Air mata ini berjurai-jurai ketika itu Ollo.



Setiap malam Mama teringat Ollo. Sampai terbawa di dalam mimpi Mama. Ollo burung yang sangat manja. Macam bayi yang kecil. Walaupun umur Ollo hampir tujuh bulan namun masih makan bersuap. Mama tahu Ollo suka makan cecair makanan jenama Kaytee yang memang khas untuk burung Kakaktua. Sun Conure seperti Ollo juga amat suka pada kuaci dan bijirin. Mama senantiasa mencurahkan sepenuh kasih sayang pada Ollo dan sebab itu kita terlalu akrab. Tidur Ollo  pun hendak selalu dipeluk dan dibelai Mama. Ollo sangat pandai kalau Mama liat bangun waktu pagi, Ollo selalu kejutkan dari tidur. Ollo gigit-gigitkan Mama, kejutkan minta mahu makan. Tidak keterlaluan jika Mama nyatakan yang Ollo ini Mama layan seperti seseorang anak bukan seperti haiwan. Kemana sahaja Mama pergi untuk berlibur pasti Ollo dibawa bersama. Sesuatu yang istimewa tentang Ollo yang pasti selalu tersemat didalam memori ini adalah Ollo tidak pernah ada sangkar maka oleh demikian Ollo tidak sesekali pernah dikurung. Mama lepaskan sahaja Ollo terbang luar rumah dan Ollo memang terlatih dan pandai balik sendiri. Rutin harian  Ollo setiap pagi ialah Mama akan lepaskan luar rumah untuk Ollo bermain dgn burung-burung liar di depan rumah. Agak-agak tengah hari bila Ollo haus atau panas hendak mandi pasti Ollo akan balik rumah. Ollo akan jerit-jerit suruh bukakan pintu untuk masuk. Lepas dapat mandi dan minum air, Ollo akan keluar main atas pokok depan rumah sampai petang. Sebelum maghrib Mama akan panggil Ollo dan Ollo pasti berterbangan hinggap ke bahu Mama. Semua orang di kejiranan ini kenal Ollo. Ramai juga yang datang untuk bermain dengan Ollo tiap-tiap petang. Tapi kini semua hanya kenangan. Tiada lagi keriuhan dan keletah Ollo yang menggamit perasaan.


                                                                                             
Sesungguhnya Mama amat rindukan Ollo. Namun di mana Ollo berada, Mama doakan kesejahteraan dan keselamatan Ollo. Mama percaya Tuhan yang Esa akan sentiasa menjaga Ollo. Pada rakan-rakan di luar sana, saya ingin berpesan supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga. Sejauh mana haiwan peliharaan kita itu jinak dan manja namun langkah berwaspada harus diambil kira. Saya telah mendapat pelajaran yang amat bermakna . .
Tiada pernah pun satu hari, Mama putus harapan yang kita tidak akan bertemu lagi. Ollo..pulanglah! pulanglah! Mama nantikan kepulanganmu.



CHEETO DAN PENYELAMATNYA



Petang itu, Ridhwan Rahim atau Wan ambil angin petang di sekitar kawasan rumahnya di Permatang Pauh, Pulau Pinang. Mundar–mandir Wan di sekitar pokok-pokok kelapa yang wujud di persekitaran rumahnya. Sesekali terasa bayu petang yang melewati tatkala senja kian berlabuh. Setelah beberapa ketika berjalan santai, Wan kemudian berhasrat untuk masuk ke rumah namun hasratnya terbantut dengan satu suara. Sayup perlahan dan tidak bermaya. Beberapa langkah darinya, Wan melihat sekujur tubuh kecil meminta simpati. Wan kenal benar dengan susuk tubuh di hadapannya. Ya itulah Musang Pulut atau dalam bahasa Inggerisnya berbunyi "Common Palm Civet". Haiwan ini merupakan salah satu daripada haiwan terlindung dalam negara kita. Musang Pulut terdapat di negara India,Sri Lanka dan sehingga keseluruhan selatan China serta tanah besar Asia Tenggara, termasuk Malaysia, Sumatera, Jawa, Borneo, Sulawesi dan Filipina. Pemburuannya memerlukan lesen pemburuan. Nama sainsnya adalah Paradoxurus hermaphroditus. Masakan Wan tidak arif dengan makhluk di hadapannya kerana sebelum ini telah lima ekor Musang Pulut ini diselamatkannya.

Musang Pulut boleh dikenali dengan tiga jalur gelap di bahagian belakang dengan latar belakang kelabu atau (creamy), dan topeng hitam pada bahagian mata, pipi dan hidung dengan tompok putih di bahagian bawah mata. Musang Pulut mempunyai bulu kasar kelabu sehingga keperangan dengan bulu tebal (guard hairs) hitam dihujung merata-rata. Ia turut mempunyai bau yang kuat yang mencucuk hidung. Musang Pulut boleh di dapati di hutan sekunder (baru), ladang buah, berhampiran kampung, malah kadang kala terdapat di bumbung rumah kawasan pendalaman. Pada kebiasaannya, ia bersarang dalam lubang pokok di mana mereka menjaga dua atau tiga ekor anak. Spesies ini aktif pada waktu malam sepenuhnya. Namun apa yang dilihat oleh Wan sekarang adalah tubuh kecil yang masih bertali pusat. Anak Musang Pulut ini masih belum membuka matanya untuk melihat dunia serba indah panoramanya. Buat seketika, Wan menanti membiarkan si kecil dalam pengharapan si ibu akan datang mencari anaknya. Masih berbekas di minda Wan fakta-fakta yang dibacanya daripada internet. Apabila tinggal disesuatu kawasan, musang akan menggunakan pokok yang sama untuk tidur pada waktu siang. Secara teorinya kemungkinan si ibu musang ini akan berada berdekatan dengan tempat si kecil ini dijumpa. Musang Pulut membiak sepanjang tahun walaupun ia pernah direkodkan bahawa anaknya lebih kerap dilihat antara Oktober hingga Disember. Anaknya dilahirkan berkawan antara 2 hingga 5 ekor. Sebagai mamalia, Musang Pulut berdarah panas, melahirkan anak, menjaga anak, dan mempunyai bulu di badan. Musang Pulut akan menjaga anaknya sehingga mampu berdikari.

Malang bagi si kecil ini kerana si ibu belum muncul. Wan mengambil keputusan membawa anak Musang Pulut ini ke rumah. Setelah diperiksa, kaki si kecil ini kebengkakkan kerana di gigit oleh semut kerengga. Terasa keperitan si kecil menahan kesakitan. Rengga telur lalat juga bersepah di bulu-bulunya. Wan yang berjiwa penyayang sesekali tidak akan membiarkan perkara ini menyiksa si kecil. Dengan segera Wan membersih perlahan-lahan kekotoran yang terdapat di tubuh badan si kecil. Bengkak pada kaki si kecil jua dirawat. Terasa sayu dan sayang di lubuk hati Wan. Wan berjanji dan terpanggil untuk menjaga serta melindungi si kecil ini. Setelah membersih dan merawat si kecil, Wan bergegas ke kedai untuk membeli susu formula khas haiwan buat si anak Musang Pulut. Apabila pulang ke rumah dengan pantas dibancuh susu formula dan dihulur pada si kecil. Si kecil ternyata teramat lapar kerana dengan gelojoh ia menelan air susu yang diberi. Wan tersenyum puas kerana dapat menghilangkan kelaparan sang makhluk ciptaan tuhan.




Semenjak dari itu, bermulalah rutin Wan dalam menjaga si kecil ini. Si kecil kini sekarang telah mempunyai nama. Namanya adalah Cheeto. Cheeto yang kecil ini memerlukan perhatian daripada Wan. Siang dan malam , Wan menjaga si Cheeto dengan penuh perhatian. Bukan calang manusia yang tega melakukan tugas murni seperti Wan. Masakan tidak, pada waktu malam sahaja si Cheeto perlu diberi susu setiap tiga jam. Hari demi hari tubuh badannya semakin membesar,semakin cerdas. Melihat kecerdasan dan kelincahan Si Cheeto membuatkan hilang penat lelah Wan menjaganya siang dan malam.

Seperti lima ekor anak Musang Pulut yang diselamatkannya sebelum ini, Wan akan melepaskan semula Cheeto ke kawasan hutan yang berdekatan. Wan telah menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi dan Wan berdoa kepada tuhan semoga Cheeto bebas di luar sana kelak untuk mengembangkan generasinya. Musang Pulut menjadi matang antara 11 hingga 12 bulan. Dalam kurungan musang Pulut mampu hidup sehingga 22 tahun. Dengan prinsip S.T.A.R yang dipegang iaitu Save, Treat , Adopt & Release  merupakan intipati menjaga dan memelihara kelestarian haiwan terlindung. Semoga semakin ramai insan-insan bersifat terpuji seperti ini yang mana mengenepikan kepentingan peribadi demi melihat kesejahteraan makhluk tuhan yang lain. Percayalah dunia akan menjadi lebih indah dengan sifat kasih sayang yang kita semaikan. Pepohon kedamaian akan terus mekar melindungi sebarang kerosakan yang ingin menjalar dalam melumpuhkan sentosa.





TIONG EMAS: Bagaimana Melatih Si Peniru Suara Terhebat Ini?




Tiong emas atau Mynahs Hill mampu meniru apa-apa suara atau bunyi yang mereka dengar. Jawa Hill Mynahs dan Greater India Hill Mynahs adalah jenis burung Tiong paling popular yang dijadikan sebagai haiwan kesayangan. Burung Tiong emas adalah salah satu daripada burung yang terdapat di hutan Malaysia. Nama sains bagi Tiong emas adalah Gracula religiosa. Burung Tiong emas merupakan haiwan yang dilindungi di Malaysia dan memerlukan lesen pemburuan untuk memburunya dan juga untuk memeliharanya. Tiong emas biasanya sepanjang 30 cm. Burung Tiong emas digemari ramai kerana ia boleh dilatih untuk mengajuk suara manusia. Merupakan penutur yang cemerlang, mampu mempelajari seberapa banyak perkataan dan frasa serta berkemampuan untuk meniru dan bercakap dengan sangat jelas seperti mana-mana manusia.

Ia berkebolehan menyimpan memori perbendaharaan kata lebih daripada 100 patah perkataan dan frasa. Apabila anda tidak mempunyai masa untuk mengajar burung Tiong anda mengajuk suara, ada yang mencari cara alternatif untuk melatih dengan memainkan peranti rakaman yang merekod suara. Tetapi, janganlah mengharapkan peranti rakaman untuk melakukan semua kerja kerana ia adalah penting untuk anda bonding dengan burung anda dan memberikan perhatian peribadi untuk mempercepatkan proses pembelajaran.
Sewaktu burung anda akan bertenggek di atas tangan anda di luar sangkar, anda boleh menggunakan peluang ini untuk sesi bercakap-cakap dengannya. Sama ada di dalam atau di luar sangkar, semasa pengajaran itu anda bercakaplah dengan burung anda dan ulangilah perkataan atau frasa yang anda mahu ia untuk belajar. Berikanlah ia masa antara ulangan untuk burung Tiong  berfikir tentang apa yang ia telah dengari.Kemudian berikan ia masa pula untuk burung mengulangi apa yang dikatakan anda. Teruskan pelajaran selama kira-kira 10 minit setiap sesi  dan mengulangi pelajaran sekurang-kurangnya beberapa kali sehari.

Adalah tidak digalakkan untuk mengajar burung Tiong anda untuk bersiul. Jangan berbuat apa-apa yang akan menggalakkan Tiong anda bersiul kerana ia boleh menjadi agak menjengkelkan kerana bunyinya yang sangat nyaring. Burung Tiong secara amnya sudah pandai bersiul dalam nadanya tersendiri oleh itu anda tidak perlu lagi menambah koleksi siulan dalam kotak memorinya. Jika anda tahu anda tidak boleh mengendalikan bunyi bising, maka anda tidak disyorkan memelihara burung Tiong. Sedikit bunyi yang agak bising datang dengan memiliki Tiong. Tiong mudah teruja dengan persekitarannya dan jika anda mahu menghentikan keterujaannya, anda perlu mencari sumber yang membuatkan ia bising. Kadang-kadang hanya dengan meliputi sangkar dengan kain selama beberapa minit, Tiong akan berhenti bersiul tetapi ia bergantung juga kepada karekter burung Tiong itu sendiri. Antara sebab burung Tiong anda boleh menjadi bising adalah seperti contohnya mungkin anda mengeluarkan sesuatu dari peti sejuk dan burung anda teruja dengan harapan ia akan mendapatkan makanan itu; mungkin ia memerlukan air bersih untuk minum atau mandi; mungkin ia hanya mahu sedikit perhatian peribadi daripada anda atau ingin mempunyai masa seketika untuk bebas keluar dari sangkar.

Mulakan dengan satu perkataan dahulu seperti "assalamualaikum" kepada burung anda setiap kali anda pulang ke rumah atau setiap kali anda melintasi sangkarnya. Ia akan mula meniru dengan membuat sedikit bunyi dan pada ketika ini kebiasaannya anda tidak dapat mendengar dengan jelas dan memahami bunyian itu. Ia boleh membuat bunyi seperti "eh". Tiong anda selepas itu akan memulakan usaha untuk mengatakan "assalamualaikum" seperti yang diajarkan oleh anda. Anda sepatutnya  membiarkan burung Tiong anda mendengar perkataan pertama sewaktu ia masih kecil walaupun ketika itu ia tidak mampu bercakap. Jika anda menunggu sehingga burung Tiong anda beberapa bulan selepas itu untuk memulakan latihan, perkataan pertama mungkin seolah-olah terlalu sukar untuk diajuknya. Lebih tua usia Tiong yang tidak pernah dilatih untuk bercakap perkataan maka semakin sukar pula ia melakukannya. Namun itu tidak bermakna ia tidak akan bercakap kerana itu terpulang kepada keupayaan burung Tiong itu sendiri. Anda mungkin kadangkala terfikir usaha anda cuba untuk mengajarnya bercakap adalah sia-sia, tetapi jangan berhenti berusaha kerana ia mungkin akan mengejutkan anda suatu hari nanti. Seekor burung Tiong masih boleh menjadi haiwan yang menyeronokkan walaupun ia tidak berkebolehan untuk meniru perkataan atau frasa. Sekurang-kurangnya Tiong anda tetap belajar untuk meniru beberapa bunyi yang cukup menarik padanya.

Secara amnya, burung Tiong akan terus belajar perkataan, frasa dan bunyi di sepanjang hidup mereka, tetapi fasa pembelajaran lebih pesat dan efektif sepanjang beberapa tahun pertama. Biasanya cari perkataan yang paling mudah untuk diajar pada kali pertama. Anda perlu berhati-hati apa yang anda katakan pada persekitaran yang dapat didengari oleh sang burung Tiong kerana apabila dia sudah mendapat meniru suara atau bunyian tersebut agak ambil masa yang lama untuk memadamkan daripada memorinya. Biasanya kes ini memeningkan kepala pemilik sekiranya Tiong meniru sesuatu seperti perkataan yang tidak elok digunakan seperti makian. Biasanya Tiong lebih suka untuk mengulangi perkataan atau frasa yang mereka sendiri rasakan mengujakan atau mengembirakan mereka.

Anak burung Tiong yang sangat muda mempunyai sedikit suara yang parau pada mulanya dan ketika ia cuba untuk mengulangi perkataan yang didengar, ia mungkin berbunyi sesuatu yang jauh berbeza daripada apa yang anda harapkan. Ia juga adakala mengatakan sesuatu yang sama sekali berbeza daripada apa yang anda mahu ia katakan. Burung Tiong tidaklah sentiasa mengikuti setiap apa yang diajar padanya dengan sempurna kerana kadang-kadang perkataan akan bunyi serak atau bercampuran bunyi suaranya, tetapi dengan latihan mendengar frasa berulang, Tiong akan belajar untuk bercakap perkataan dengan lebih jelas secara perlahan-lahan. Apabila melatih burung Tiong anda, gunakan ungkapan yang mempunyai emosi dalam suara anda. Ia boleh memberi sedikit perbezaan dalam mendapat perhatian sang Tiong.

Ikatan peribadi anda dengan burung Tiong anda dari awal adalah penting. Ia perlu untuk Tiong berasa selesa dan selamat dengan anda juga persekitarannya. Anda akan mempunyai peluang cerah memiliki burung Tiong yang betah meniru pelbagai suara dengan membeli baka domestik Malaysia (Tiong daripada Thailand agak sukar untuk diajar meniru) dan membeli anak Tiong dengan menyuapkan sendiri makanan padanya. Agak sukar mencari anak Tiong unweaned (istilah yang bermaksud tidak pandai makan sendiri) daripada penjual perseorangan atau kedai haiwan, jadi biasanya anda akan memperolehi anak Tiong yang berumur sekitar 6 atau 7 minggu ke atas tetapi jangan risau atau ralat kerana pada umur ini anak Tiong masih sesuai untuk memulakan latihan bercakap waima untuk mempunyai ikatan peribadi yang istimewa dengan anda.

Anak burung Tiong sangat memberi kepuasan kepada pemiliknya dengan keletahnya yang manja dan comel. Anak Tiong akan sentiasa ingin berdamping dengan anda dan adakalanya suka mengesel-gesel kepalanya yang kecil di bawah dagu anda dan berdecit dengan lembut. Namun secara amnya, tabiat ini akan berubah apabila ia semakin dewasa kerana kebanyakkan Tiong tidak suka dibelai kerana sifat asalnya yang lebih suka berdikari.
Satu lagi kepintaran burung Tiong yang sangat menarik ialah ia bijak mengaitkan sesuatu perbuatan atau tindakan dengan frasa dan bunyi. Sebagai contoh apabila ia ternampak kita mengambil kunci kereta, ia tahu langkah seterusnya adalah untuk kita pergi ke pintu, jadi ia berkata , "mahu keluar?". Atau juga ketika ada orang dihadapan pintu rumah , si Tiong yang bijak tidak teragak-agak untuk memberi dahulu salam. Yang paling melucukan apabila Tiong membuat bunyi “pheewitttttttt” apabila si dara jelita melintasi.

Tidak kisahlah anda membeli burung Tiong yang dewasa atau Tiong yang masih anak, pengalaman memiliki burung ini amat mengujakan. Sekali lagi, ia terpulang kepada burung Tiong itu sendiri seberapa ia ingin belajar dan meniru. Burung Tiong mempunyai banyak personaliti dan telatah lucu. Saya suka untuk merujuk kepada mereka sebagai “si peniru terhebat berbulu hitam”.

ORDER SEKARANG !

ORDER SEKARANG !
OVAPRIM ( UNTUK PEMBENIHAN IKAN)

PROMO PET

PROMO PET
Sugar Glider

African Grey

Ferret

Zebra Finches

Kuang Emas

Ball Python

Indian Ringneck

MENU ISTIMEWA

MENU ISTIMEWA
ikan keli sambal

nasi kerabu ikan keli

keli cicah sambal belacan

fillet ikan keli

keli lemonade

ENTRY POPULAR

ANDA PENGUNJUNG KE

USYAR2 SINI

Klip Pusat Ternakan Keli oh Keli

Related Posts with Thumbnails
Komuniti Bloggers Penang

THE OLD FREES

THE OLD FREES

KELI OH KELI