Coklat adalah pembunuh! Walaupun coklat
adalah salah satu makanan kegemaran kita, namun ia mengandungi bahan toksik
kepada haiwan. Fakta klasik sebelum ini mendapati keracunan akibat memakan
coklat bagi anjing adalah kes tipikal yang sering berlaku namun sebenarnya
kandungan coklat juga menjejaskan kucing, burung dan haiwan peliharaan lain.
Ingat untuk sentiasa mengawasi coklat, kek dan gula-gula bersalut
coklat di rumah anda dengan selamat daripada haiwan kesayangan anda. Hanya
berikan ganjaran (treats) yang
benar-benar sihat dan selamat kepada si
manja anda.
Mengapa coklat beracun pada
haiwan?
Coklat beracun atau menjadi
toksik kepada haiwan adalah kerana kandungan berlebihan ekstrak alkaloid methylxanthine yang terkandung
dalam coklat dan harus diingat ianya juga terdapat di dalam kopi dan teh.
Keracunan ini akan memberi kesan yang teruk kepada kebanyakkan sistem organ haiwan. Keracunan akibat coklat
ini memberi kesan kepada semua peringkat umur haiwan anda. Kesan alkaloid methylxanthine ini pada haiwan juga menyebabkan
saluran darah sempit, denyutan jantung
menjadi semakin lemah dan merangsang sistem saraf yang menyebabkan haiwan tidak
stabil. Antara dua bahan utama yang mengandungi ekstrak alkaloid methylxanthine adalah
theobromine and kafein. Dalam kebanyakan kes, haiwan diracuni dengan memakan
coklat diproses yang terdapat dalam gula-gula, coklat bar dan minuman bercoklat
kerana makanan-makanan tersebut mengandungi kepekatan tinggi theobromine serta kafein.
Apakah tanda haiwan anda telah
keracunan akibat makan coklat?
Muntah dan cirit-birit berlaku 2
hingga 4 jam selepas pengambilan dan anda dapat melihat dengan jelas kandungan
coklat pada muntahnya. Rangsangan sistem saraf membawa kepada hiperaktif,
menggigil dan sawan pada jenis haiwan tertentu. Kadar degupan jantung menjadi
semakin pesat dan tidak teratur. Membuang air kecil berlebihan kerana tindakan
semulajadi untuk menyah bahan beracun dalam badannya. Pada peringkat yang lebih
teruk haiwan menjadi garang, keghairahan melampau, sawan dan tindak balas yang
melampau kepada bunyi bising, cahaya, dan sentuhan. Kegagalan jantung, lemah,
koma dan kematian boleh berlaku 12 hingga 36 jam selepas pengambilan coklat.
Simptom keracunan akibat coklat
adalah hampir sama dengan keracunan
bahan lain seperti strychnine, amfetamin, racun perosak dan beberapa
jenis rodenticides . Jika haiwan anda
mempunyai simptom-simptom kombinasi berikut seperti muntah, ketakutan dan
kelihatan amat lemah, segeralah membawa haiwan peliharaan anda kepada doktor
haiwan. Jika boleh, bawa sedikit sampel muntah ke klinik kerana ini boleh membantu
dalam pengenalan bahan toksik. Doktor haiwan anda akan memeriksa sistem saraf
dan fungsi jantung haiwan anda dengan teliti. Ujian darah, ujian kepekatan air
kencing ( untuk megetahui paras glukosa) serta pemeriksaan mengenalpasti bahan
aktif dalam coklat akan dilakukan.
Bagaimana rawatan keracunan
akibat coklat dilakukan?
Jika haiwan anda terkena sawan,
jangan cuba untuk menyebabkan ia muntah. Segeralah membawanya ke klinik haiwan tanpa
berlengah-lengah. Tiada penawar untuk keracunan coklat. Doktor haiwan anda akan
menggunakan ubat bagi merangsangnya muntah jika coklat itu dimakan dalam tempoh
2 - 4 jam atau menggunakan tiub ke dalam perut bersama cecair untuk
mengosongkan perut haiwan itu daripada coklat. Dalam kes kritikal, ubat-ubatan
khusus yang diperlukan untuk mengawal sawan dan untuk mengawal semula kadar
denyutan jantung kuat dan lemah bagi mencegah kegagalan jantung.
Anda mungkin seronok melihat
haiwan anda begitu asyik menjamah coklat terutamanya bagi anak haiwan kerana
kecenderungannya untuk mencuba merasai pelbagai makanan baru. Walaupun coklat
mudah didapati dan lazat, tetapi tahukah anda yang coklat sebenarnya turut memberi
kesan buruk kepada haiwan jenis reptilia dan rodensia. Oleh itu berhati-hatilah
dengan coklat, walaupun manis tetapi racun pada haiwan.
No comments:
Post a Comment