KAMI GENG SUKA IKAN KELI

TEKNIK ASAS MELATIH BURUNG COCKATIELS





Burung Cockatiels (Nymphicus hollandicus), juga dikenali sebagai Quarrion dan Weiro dan ia merupakan jenis cockatoo terkecil berasal daripada negara Australia. Ia merupakan burung yang sesuai  dipelihara di rumah dan  agak mudah untuk membiak. Jika diambil daripada statistik burung paling digemari dipelihara di dalam sangkar burung , Cockatiels adalah kedua popular selepas Budgerigar.

Cockatiels tidak sukar untuk dilatih selagi mereka diajar dengan penuh kesabaran dan pemahaman yang tepat tentang tingkah laku mereka. Burung Cockatiels yang jinak sering menganggap pemiliknya  sebagai ibu atau bapa, justeru itu mereka akan meniru contoh yang ditetapkan apa dipamirkan oleh tuannya.
Yang  terbaik  untuk memulakan latihan bagi burung Cockatiels  ini adalah latihan pada usia muda. Ia akan lebih mudah untuk diajar dan dilatih  kerana pada waktu muda ini secara kehidupan semulajadinya mereka lebih terbuka dalam meniru perlakuan daripada burung lebih tua.

LATIHAN MENJINAKKAN
Dalam usaha anda untuk melatih pelbagai tricks (aksi kepandaian)kelak,  perkara asas yang wajib dan pertamanya adalah  mengajar burung anda menjadi jinak. Burung yang jinak tidak akan menggigit anda dan akan mendengar arahan anda dengan lebih mudah. Cockatiels  akan menggigit apabila mereka rasa terancam atau dalam bahaya. Cockatiels anda mesti belajar dan tahu bahawa anda tidak menjejaskan atau memberi bahaya kepadanya.

Untuk mengajar Cockatiels bahawa kita bukanlah satu ancaman kepadanya  ialah kita boleh mencuba tips latihan yang berikut :
1.       Letakkan tangan anda ke dalam sangkar dan cuba memegang ia dari sana. Anda mungkin ingin mencuba pada permulaanya dengan  memakai sarung tangan untuk mengelakkan kecederaaan pada kulit tangan anda daripada  paruh Cockatiels yang agak tajam dan gigitannya mungkin agak menyakitkan bagi sesetengah orang. Teknik ini akan membolehkan burung anda biasa dan mengenali  tangan anda.

2.       Setelah burung tidak lagi menunjukkan rasa takut tangan anda, cuba sentuh abdomen Cockatiels anda. Perlahan-lahan tekan bahagian bawah abdomen, betul-betul di atas kaki dan biasanya Cockatiels yang jinak akan melangkah untuk bertenggek ke atas jari anda.


3.        Namun jika burung Cocokatiels anda menjadi tidak keruan dan ketakutan ubahkan tangan anda daripada burung dan biarkan burung  kekal di dalam sangkar. Selepas ia tenang , cubalah teknik nombor 2 seperti di atas kembali.

PENGGUNAAN PERCH
Apabila  burung  Cockatiels telah sepenuhnya mengenali anda dan tidak lagi menganggap anda sebagai pemangsa atau ancaman baginya, pengajaran seterusnya boleh bermula iaitu melatih burung  untuk bergerak dari jari anda dan kembali kepada perch.Perch adalah istilah yang digunakan bagi binaan daripada rod,batang atau ranting yang digunakan untuk burung bertenggek.

Pegang jari anda di sebelah  perch dalam membuat langkah awal dalam menggalakkan burung Cockatiels anda melangkah turun ke perch.Anda mungkin juga boleh menolak perlahan dengan jari sedikit untuk memaksa Cockatiels melangkah.

Semasa membuat pergerakan itu anda boleh mula menggunakan ayat-ayat perintah. Sesetengah orang mengatakan "up" atau "down"  dan ada juga yang membuat bunyi-bunyi tertentu dalam memberi arahan.

SIKAP ASAS DALAM MELATIH COCKATIELS
Perkara-perkara yang paling penting untuk anda ingati apabila melatih Cockatiels anda adalah seperti berikut:
1.       Gunakan kasih sayang atau treats(upah makanan) sebagai ganjaran.
2.       Memanggil burung dengan namanya pada bila-bila masa anda berada berhampiran dengannya (iaitu ketika membersihkan sangkar , memberi makan, dan sebagainya) untuk mengajar ia mengetahui namanya apabila dipanggil nanti.
3.       Ingat bahawa KESABARAN, kebaikan dan proses pengulangan adalah kunci kepada kejayaan latihan Cockatiels anda.
4.       Sentiasa memuji burung  apabila dia melakukan apa yang anda mahu dan arahkan.
5.       Berlatih di tempat yang tenang dan bebas daripada gangguan.
6.       Sentiasa menggunakan pendekatan yang positif.
7.       Pastikan sesi latihan pendek,ini bagi memberikan masa untuk burung anda berehat.
8.       Bercakap perlahan-lahan dan JANGAN menengking burung atau menggunakan kelakuan agresif, perlakuan negatif daripada anda akan hanya  membuat sesi latihan lebih sukar kerana burung akan kehilangan kepercayaan pada diri anda.

Jika ingin memiliki burung Cockatiels yang bijak dalam melakukan pelbagai aksi anda mestilah terus bermotivasi dan mempunyai kesabaran. Sememangnya latihan awal mengambil  sedikit masa yang lama, tetapi jika ia adalah matlamat anda untuk mempunyai burung yang hebat, putus asa bukanlah jawapannya.

CLICKER SEBAGAI ALAT BANTUAN
Setelah Cockatiels anda telah menguasai tricks asas , anda boleh mula melatih dia untuk melakukan tricks yang lebih mengujakan. Cockatiels boleh mempelajari bagaimana untuk mengambil benda-benda kecil, meletakkan bola dalam gelung bola keranjang, berjabat salam, melambai menggunakan kakinya, mengepak sayap apabila disuruh,terbang ke arah tuannya apabila dipanggil dan pelbagai lagi.
Satu lagi perkara yang boleh membantu dalam melatih Cockatiels anda adalah menggunakan alat yang dikenali sebagai ClickerClicker adalah peranti kecil yang dibuat daripada plastik dan logam yang berharga  lebih kurang RM 5.00. Latihan clicker adalah berkesan kerana bunyi klik yang cepat itu  membolehkan burung anda tahu yang anda mengiktiraf bahawa apa yang dia lakukan adalah baik.Ini adalah kerana setelah ia mendengar klik  kemudian menerima ganjaran seperti ciuman atau treats. Burung Cockatiels akan mula mengaitkan bunyi klik dengan pemberiaan ganjaran sekaligus menggalakannya melakukan aksi mengikut arahan.

Langkah pertama dalam menggunakan Clicker adalah  mengajar burung anda apakah maksud bunyi klik . Setiap kali anda bunyikan Clicker, beri ganjaran kepadanya. Setelah membuat perkara ini berulang ulang kali dalam beberapa sesi latihan, burung Cockatiels akan memahami bahawa bunyi itu boleh dikaitkan dengan mendapat ganjaran.
Setelah burung Cockatiels telah biasa dengan bunyi Clicker itu anda boleh mengubah dengan mula membunyikannya apabila ia melakukan sesuatu yang mengikut arahan . Contoh latihan yang boleh dibuat:
1.       Pertama, tunjukkan apa yang anda mahu ia lakukan. Cockatiels akan cuba meniru anda. Jika anda mahu ia mengepak sayap pada setiap kali anda menyebut perkataan “wings”, anda mestilah menunjukkan bagaimana untuk melakukannya dengan menolak perlahan dengan jari terhadap sayapnya(ada lebih daripada satu teknik latihan untuk mengajar membuat tricks ini)
2.       Kemudian, ulangi tindakan itu dan membuat bunyi klik setiap kali ia melakukannya.
3.       Selepas Cockatiels mampu melakukan aksi tersebut setiap kali mendengar arahan,buat bunyi klik dan tawarkan ganjaran.

Beberapa perkara yang perlu diingati mengenai latihan Clicker:
1.       Tunggu untuk burung anda habis makan treats( sekiranya anda memberi upah makanan) yang diberi sebelum melakukan aksi yang seterusnya.
2.       Jangan biarkan dia melihat atau menikmati treats sehingga anda membuat bunyi klik.
3.       Memberi upah ganjaran di tempat yang sama setiap kali (iaitu di tapak tangan anda atau di atas meja).
Anda juga boleh sahaja menjadi lebih kreatif dengan mengklik pen mata bola  atau membuat bunyi klik dengan menggunakan lidah anda daripada membeli clicker sebenar. Asal sahaja bunyi itu dapat dikaitkan dengan tindakannya yang betul serta upah ganjaran yang akan didapatinya apa sahaja medium boleh digunakan.

KEPUASAN MEMPUNYAI COCKATIELS YANG TERLATIH
Cockatiels adalah haiwan peliharaan yang boleh dijinakkan, bagaimanapun tanpa latihan yang sepatutnya mereka hanya menjadi burung yang cantik menghiasi sangkar. Alangkah seronoknya jika mempunyai burung yang jinak dan boleh dibawa bermain luar sangkar.

Latihan berterusan adalah penting jika anda mahu membentuk satu ikatan kasih sayang  antara anda dan burung anda. Ia menguji kesabaran  tetapi sebaik sahaja Cockatiels anda telah terlatih, anda dan burung anda akan mendapat manfaat dan kepuasan yang sukar dilafazkan. Ramai orang mempunyai burung Cockatiels tetapi tidak ramai orang yang mempunyai komitmen berterusan dalam melatihnya. Percayalah, anda pasti tersenyum dengan keletah sang Cockatiels yang bijak dan jinak.

WARKAH BUAT PEMILIK HAIWAN





Kehadapan tuan kami yang dikasihi,

Diharap kehadiran warkah ini tidak menggangu anda. Kami sekadar ingin meluahkan apa yang tersirat dihati dan kami amat ingin sekiranya anda mengetahui rasa isi hati kami. Berilah sedikit masa untuk membaca luahan hati kami.

Hidup kami adalah berkemungkinan melebihi 5-10 tahun, sebarang pemisahan daripada anda adalah amat menyakitkan. Apabila anda membuat keputusan untuk membawa kami ke dalam sebahagian daripada hidup anda, biarkan ia selama-lamanya. Andai kata pada masa tertentu pada masa hadapan, anda tidak boleh lagi menjaga kami, pastikan bahawa rumah baru kami akan memberikan apa yang kami perlukan dan penjaga yang baru akan membekalkan kasih sayang, penjagaan dan sosialisasi yang kami inginkan.

Biar kami mengajar anda untuk memahami kami dan apa yang kami perlukan daripada anda. Kami akan menguji anda dari masa ke masa untuk pastikan anda ingat pelajaran itu.
Biarkan kami sentiasa selamat dan terjamin. Lindungilah kami daripada segala yang membahayakan dan memudaratkan kami. Kami bergantung kepada anda. Anda adalah talian hayat kami.

Bercakaplah dengan kami dan belai atau peluklah kami. Suara anda sangat mengasyikkan dan menyeronokkan pada pendengaran telinga kami. Sentuhan lembut anda adalah seperti sinaran matahari di pagi hari yang amat menyegarkan kami.

Kami memerlukan makanan segar, air yang bersih dan tempat tidur yang selesa. Persekitaran yang nyaman menyelesakan kami dan tolonglah bersihkan sangkar kami setiap hari. Kami juga perlukan perhatian dan kehidupan sosial setiap hari. Jangan letakkan kami sepanjang masa di dalam sangkar. Kami juga tergolong dalam keluarga anda.Kami akan membuat banyak kesilapan. Kami tidak sempurna. Berlembutlah apabila anda membetulkan kesilapan kami.

Janganlah marah pada kami. Kami ingin gembira dan makhluk yang sentiasa ingin tahu dan kemungkinan sifat itu menjelikkan anda. Ketahuilah anda bahawa ini adalah sifat semulajadi kami. Kami tidak berniat menjadi perosak dan pemusnah. Hakikatnya kami amat bergantung kepada anda untuk mengawasi tingkahlaku kami.

Jangan sekali-kali memukul  atau mengherdik kami. Kami makhluk tuhan yang lemah dan tindakan akibat kemarahan anda itu boleh menyakiti kami dengan sangat mudah. Apabila anda marah pada seseorang atau sesuatu yang lain, janganlah pula melempiaskan kemarahan itu pada kami. Ya, kami tidak mempunyai apa-apa untuk diberikan kepada anda selain kasih sayang kami dan kegembiraan.

Jagalah kami apabila kami beransur tua. Kami mungkin tidak lagi aktif dan kurang bermain tetapi percayalah kasih sayang kami tidak pernah berkurang. Pantaulah kami dengan teliti kerana ketika ini pelbagai penyakit akan mudah menyerang kami. Maaf kerana kami akan menyusahkan anda pada waktu ini tetapi kami sentiasa berdoa pada tuhan semoga memberi ganjaran pahala yang banyak pada anda kerana ikhlas menjaga kami.

Apabila kami kelak tidak lagi boleh menikmati kehidupan dan dalam kesakitan nazak, temanilah kami sehingga hembusan nafas terakhir. Kami telah memberikan anda seluruh kehidupan dan cinta kami kepada anda. Jangan mengecewakan kami di saat-saat terakhir kami di dunia ini. Katakanlah yang anda menyayangi kami saat belaian terakhir itu. Redhakanlah kami pergi dengan tenang dan aman.

Sentiasa ingat bahawa kami sentiasa menyayangi anda!

Yang Benar,

Haiwan Jinak Anda!

ORDER SEKARANG !

ORDER SEKARANG !
OVAPRIM ( UNTUK PEMBENIHAN IKAN)

PROMO PET

PROMO PET
Sugar Glider

African Grey

Ferret

Zebra Finches

Kuang Emas

Ball Python

Indian Ringneck

MENU ISTIMEWA

MENU ISTIMEWA
ikan keli sambal

nasi kerabu ikan keli

keli cicah sambal belacan

fillet ikan keli

keli lemonade

ENTRY POPULAR

ANDA PENGUNJUNG KE

USYAR2 SINI

Klip Pusat Ternakan Keli oh Keli

Related Posts with Thumbnails

THE OLD FREES

THE OLD FREES
There was an error in this gadget

KELI OH KELI